Halaman

Sabtu, 22 September 2012

Berjuang untuk hidup


Sumber: Farid Rashidi
Penghantar Makanan

“Enta rah fin, Awiz eh?” Tanya saya kepada seorang budak lelaki arab yang sedang berada di hadapan pintu rumah jiran saya. Beliau kelihatan membawa sesuatu di dalam bungkusan berbalut kemas.

“Saya nak cari Hafiz dari Malaysia. Dia ada memesan Nasi Mandi (Nasi Hadralmaut)..” Jawabnya.

“Cuba saya tengok alamatnya..” Kata saya kembali.

“Rumah Hafiz imarah atas rupanya.. Ok, enta naik ke tingkat paling atas imarah ni.. Nanti enta akan jumpa rumah Hafiz.” Saya cuba memberitahu kepada budak lelaki itu. Sekilas pandang usianya dalam lingkungan 13 tahun, seusia adik lelaki bongsu saya yang sedang belajar di tingkatan satu kini.

Bajunya kelihatan sedikit comot dan lusuh. Redup wajah menzahirkan rasa penat mengayuh basikal dan bekerja seharian.

Saya terus menuruni anak tangga untuk keluar daripada kawasan imarah melayu. Fikiran saya masih memikirkan perihal budak itu. Tambahan pula apabila terpandang basikal tua yang mempunyai raga di belakangnya.

“Eh, budak ni naik basikal tua ni agaknya.. Ish, biar betul.. punya jauh dia mengayuh semata-mata menghantar pesanan makanan.” Saya juga pernah ke Mat’am Nasi Mandi itu yang terletak di Awal Nuhas, jaraknya lebih kurang 10-15 KM daripada Imarah Melayu Siberbay.

“Tak belajarkah dia? Ke mana pergi ibu bapanya? Kenapa usia sekecil itu sudah terjebak di alam pekerjaan yang memenatkan?” Pelbagai persoalan menerpa benak minda bertubi-tubi.

Saya percaya, budak itu bekerja demi mendapatkan beberapa keping roti e’ish dan kuah kacang full buat mengalas perut sehari-hari.

Pembantu Pemandu

Seperti biasa apabila mahu ke Mansurah atau Zaqaziq kami akan menuju ke perhentian kenderaan di Mawaf Murasyahah. Jika saya menaiki bas atau van daripada Mahattah Siberbay, maka terpaksa turun di persimpangan Kubri Qahafah dan mengambil van menuju ke Mawaf Murasyahah pula.

“Hatti ugrah ya gama’ah..” Jerit seorang budak arab sambil tangannya kuat memaut tepi pintu van. Pintu van sengaja dibuka kerana van telah sesak dengan penumpang yang berhimpit.

“Enta esmak eh?” Tanya seorang lelaki arab kepada pembantu pemandu cilik itu.

Pada hemat saya, lelaki arab itu kagum melihat budak sekecil pelajar sekolah rendah tahun 3 sudah mampu bekerja dan berkomunikasi dengan penumpang persis lelaki dewasa. Saya juga jadi kagum melihat kelibatnya. Dia seakan tidak malu untuk menjadi lebih dewasa dari umurnya.

Ternyata soalan seperti di atas masih bermain di benak minda saya apabila melihat pembantu pemandu sekecil itu sedang bertungkus lumus mencari sesuap roti.

“Apakah tidak ada dana persekolahan untuk pelajar miskin di sini? Atau sebarang bentuk bantuan kewangan membolehkan mereka menumpukan pelajaran bukan pekerjaan?” Soalan tambahan untuk diri saya buat menilai sebuah negara yang mempunyai jutaan penduduk. Padat. Malah 90% lebih rakyatnya menganut agama Islam.

Apakah Islam mendiskriminasikan anak-anak kecil untuk menjadi buruh di Jalanan? Menagih simpati masyarakat?

Sebelum menjawab, mari kita teruskan membaca episod kisah di bawah pula.



Peminta Sedekah

Sedang rancak berbual di meja makan sebuah restoran yang terletak di Port Said, datang seorang remaja perempuan berpurdah menghulurkan tangan sambil terkumat-kamit berkata sesuatu. Kurang jelas kedengaran, namun saya pasti ianya adalah adalah rangkap doa.

Remaja itu beredar ke meja lain selepas kami menghulurkan beberapa keping duit untuknya. Jauh di lubuk hati, saya rasa begitu bersimpati melihat peminta sedekah menghulurkan tangan sebegitu.

Keadaan mereka membuatkan saya terkenang memori sewaktu berada di tingkatan empat sekolah menengah agama rakyat suatu ketika dahulu. Saya juga pernah tebalkan muka mengetuk pintu dari rumah ke rumah di kawasan Taiping dan Pulau Pinang semata-mata ingin menjual borang bacaan untuk arwah. Borang itu dikeluarkan pihak sekolah saya dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam dana sekolah, selebihnya diberikan upah kepada kami yang meminta.

Terhina, malu, segan adalah lumrah biasa peminta sedekah. Pernah suatu petang ketika saya melalui sebuah rumah kawasan perumahan untuk menjual borang tilawah tersebut, belum pun sempat memasuki kawasan pagar rumah, saya terpaksa berpatah balik. Terasa sangat sedih dan malu dengan tindakan anak-anak mereka.

Anak-anak yang bermain di halaman rumah terus lari menutup pintu rumah sambil menjerit-jerit melihat saya.

Bayangkan, apa perasaan kalian seharian berjalan kaki menempuh panas terik mentari tiba-tiba diperlakukan sedemikian rupa?

“Ish, kesian tengok budak-budak tadi.. Mereka tak layan pun pengemis meminta sedekah tadi.” Husni menjuih bibir ke arah sekumpulan keluarga yang duduk di sebelah meja kami.

“Itulah, bila jadi kaya.. si miskin dilupa.” Saya cuba membuat konklusi sendiri.



Penjual Jubah Yang Dermawan

“Syarikat kami mengimport jubah buatan China terus ke sini (Port Said). Dulu bos (merujuk kepada bosnya) pernah ke China kemudian tertarik dengan pembuatan pakaian jubah di sana, lalu kami terus mengimport jubah siap dari sana. Nama syarikat kami Asy-Asyri.” Beliau mendongakkan kepala ke arah papan tanda kedai yang tertera tulisan Asy-Asyri.

Sedang kami bertiga rancak berbual dengannya datang beberapa orang warga emas menghulurkan tangan. Penjual itu pantas menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada mereka. Bukannya seorang dua, tetapi berpuluh-puluh warga emas bertandang ke kedainya setiap masa. Hairan. Beliau tetap sahaja tersenyum sambil menghulurkan wang tanpa riak wajah resah gelisah.

“Keda bikam?” Saya bertanyakan harga jubah yang dibeli.

“Khamsa wa khamsin ba’da khos..” Jawabnya. Berbual dengan penjual itu membuatkan saya terlupa bahawa sedang berada di bumi Mesir. Lenggok bahasa fushahnya tanpa menggunakan loghat ammiyyah menyedapkan telinga mendengar.

Setelah berbual hampir sejam, kami meminta izin untuk bergambar dan beredar ke tempat lain pula.

Mereka Berjuang Untuk Hidup

Situasi di atas tidak dapat diselami sepenuh hati jika kita bukan berada di dalam kelompok mereka. Apatah lagi jika kita berjuang untuk menambah kemewahan hidupsedangkan mereka berjuang untuk hidup.

Bahkan Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menahan tangannya dari pemberian, baginda tidak pernah menolak pengemis yang meminta kepadanya.

Telah dikisahkan oleh Jabir r.a dengan katanya: “Tidaklah pernah Rasulullah SAW dimintai sesuatu lalu beliau berkata: “Tidak.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi)


Lihatlah betapa terserlahnya kebobrokan kapitalisme dan sosialisme dalam menanangi masalah umat sehingga menghasilkan berjuta-juta manusia dicelahan kota yang ‘Berjuang Untuk Hidup’.

1:02 AM, 15 Ogos 2009,
Siberbay, Tanta.